Tempoh rehat singkat tidak menghalang pelumba Team Sapura Cycling (TSC), Muhammad Zawawi Azman, untuk mempertahankan jersi kuningnya dalam Jelajah Selangor yang akan berlangsung selepas Sukan SEA Filipina bulan depan.

Zawawi merupakan antara pelumba yang telah disenaraikan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk temasya di Filipina itu.

Walaupun Jelajah Selangor akan berlangsung lapan hari selepas saingan dwitahunan itu, jurulatih TSC, Mahadzir Hamad, mengesahkan pelumba berusia 25 tahun itu tetap akan beraksi bagi mempertahankan jersi kuningnya.

"Persiapan untuk saingan kali ini, Zawawi akan menjadi pelumba tempatan utama. Sebelum Jelajah Selangor, dia akan mewakili Malaysia dalam Sukan SEA, jadi tiada masalah untuknya," ujar Mahadzir.

Sementara itu, Pengarah Urusan Jelajah Selangor, Noraidi Azhar Sulaiman, menerangkan edisi kali ini akan menerapkan pendekatan Jelajah Semenanjung, di mana wang kemenangan akan diberi apabila tamat setiap peringkat perlumbaan.

"Daripada hadiah kemenangan, ia sering menjadi isu. Namun, kami akan bayar hadiah kemenangan selepas berakhir setiap peringkat perlumbaan," katanya.

Perlumbaan berkenaan bakal disertai lima pasukan terbaik Jelajah Asia seperti Kinan Cycling Team yang baru sahaja menjuarai Jelajah Semenanjung, Sabtu lalu.