Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Atlet, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Dr M. Jegathesan, menyifatkan banyak aspek perlu diperbaiki bagi membentuk kontinjen berkualiti selepas apa yang berlaku dalam Sukan Asia Indonesia, bulan lalu.

Tindakan MOM mewujudkan jawatankuasa pemilihan atlet tepat pada masanya.

Ia selepas Malaysia menghantar 417 atlet ke Sukan Asia, kontinjen terbesar dalam sejarah, tetapi meraih tangga ke-14 keseluruhan dengan tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa, sekali gus gagal menghuni kelompok 10 negara terbaik.

Pencapaian itu membuktikan kontinjen negara tidak cukup berkualiti hingga MOM terpaksa membentuk jawatankuasa pemilihan atlet.

"Kami akan meneliti pemilihan atlet bagi kejohanan-kejohanan akan datang dan berharap khidmat saya bersama MOM dapat meningkatkan semula prestasi kontinjen negara pada masa akan datang," kata Jegathesan.

MOM menetapkan atlet ranking keempat Asia sebagai kriteria pemilihan utama berada dalam kategori A Sukan Asia.

Masalah wujud apabila terlalu ramai atlet kategori B dipilih.