Ketua jurulatih olahraga para negara, R. Jeganathan, mengehadkan sesi latihan anak buahnya menjelang Sukan Para ASEAN 2017 selepas berlaku kecederaan kecil terhadap beberapa atlet, termasuk prospek negara, Muhammad Ridzuan Puzi.

Ridzuan mengalami kecederaan hamstring yang tidak serius baru-baru ini berikutan terlalu memaksa diri dalam sesi latihan.

Meskipun ia bukan kecederaan yang perlu dikhuatiri, Jeganathan mengambil langkah berwaspada dengan mengehadkan latihan barisan atlet dengan saingan berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum acara sebenar bermula pada 18 September ini.

Ketika ini, cukup dengan hanya memastikan tahap kecergasan dan fizikal mereka terus konsisten.

"Ridzuan alami kecederaan kecil berpunca daripada tekanan untuk melunaskan harapan pingat emas. Tetapi kami bernasib baik kerana adanya pakar fisio, doktor dan pasukan Institut Sukan Negara (ISN)," jelas Jeganathan.

Berhubung sasaran 40 pingat emas yang diletakkan, Jeganathan menyifatkan semua atlet sedar dengan tanggungjawab masing-masing tanpa perlu merasai tertekan untuk melunaskan misi itu.

Paling utama adalah fokus kepada pingat emas tanpa memikirkan sebarang rekod kebangsaan yang ingin diperbaharui.

"Dalam saingan ini, kami buru emas. Kalau dalam Kejohanan Dunia, kami buru catatan masa dan kerana itu semua diambil kira oleh Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa," tambah Jeganathan.