Barisan atlet dan jurulatih perlu meneliti kontrak baru yang akan ditawarkan, khususnya indeks prestasi utama (KPI), yang menjadi syarat utama dalam program baru, tahun depan.

Atlet dan jurulatih telah diberikan penerangan secukupnya dalam sesi taklimat penstrukturan Program Podium dan Kita Juara yang berlangsung selama dua hari bermula semalam.

Pengarah Bahagian, Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin, mahu mereka memahami kontrak yang akan ditawarkan, minggu depan.

Dijangkakan tiada pengurangan elaun yang ketara tetapi bergantung kepada tahap prestasi seiring dengan program latihan baru berdasarkan sistem berperingkat tahun depan.

"Kami akan menumpukan kepada temasya-temasya utama serta keperluan barisan atlet dan jurulatih, tahun depan.

"Berkenaan skim elaun yang baru, kami akan membentangkannya dalam Mesyuarat Lembaga Pengurusan MSN pada 19 Disember ini.

"Bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, telah mengarahkan kami untuk mengkajinya semula bagi memastikan kebajikan atlet tidak terjejas.

"Ia bergantung kepada pencapaian atlet dalam temasya-temasya besar," katanya.

Setakat ini, 19 atlet daripada sukan badminton, terjun, dan basikal trek sudah dikenal pasti dalam peringkat pertama di bawah Program Sistem Berperingkat, yang menggantikan Program Podium bermula tahun depan.

Mengulas mengenai pengurangan acara sukan terjun dalam Sukan SEA Filipina 2019, Jefri beranggapan perkara itu tidak akan menjadi masalah besar buat penerjun senior negara kerana perlu memberikan peluang buat penerjun muda menyinar dalam temasya itu.

"Sukan SEA adalah pentas pendedahan buat penerjun-penerjun muda.

"Saya yakin mereka mampu membutirkan pingat emas buat negara," tambahnya.