Atlet pertama negara yang layak ke Sukan Olimpik Musim Sejuk 2018, Jeffrey Webb, berharap kejayaannya ke Pyeongchang, Korea Selatan akan menjadi dorongan bagi melihat lebih ramai rakyat Malaysia membabitkan diri dalam sukan ais.

Jeffrey, yang kini bermastautin di Washington, Amerika Syarikat, menarik perhatian ramai pihak apabila melayakkan diri secara merit ke Pyeonchang pada Mac lalu.

Selepas mencipta sejarah selaku wakil negara beraksi dalam temasya itu, Jeffrey berharap dia bukanlah orang pertama dan terakhir layak di atas tiket Malaysia.

"Ia hebat apabila kita memulakan dengan acara ski ais dalam dewan, mungkin Malaysia boleh meneruskannya dalam sukan itu.

"Di Dubai, mereka juga bermain di dalam dewan sementara di sesetengah tempat di UK (United Kingdom), mereka bermain di atas rumput. Kita boleh melakukan seperti ini dengan menubuhkan pasukan kecil," katanya.

Mengenai aksinya dalam Olimpik nanti, anak muda berusia 18 tahun ini belum ada sebarang sasaran khusus kerana sedar bukan mudah untuk beraksi bersama atlet terkemuka dunia.

Dia akan mengambil bahagian dalam acara slalom dan giant slalom dalam sukan luncur ais.

"Saya sebenarnya tidak pernah memikirkan perkara ini (layak ke Olimpik), saya hanya fokus untuk memperbaiki catatan kedudukan.

"Apabila sudah layak seperti ini, saya tidak mahu terlalu memikirkan pentas ini kerana enggan membebankan diri saya," katanya lagi.