Wakil 12 ahli gabungan Persekutuan Karate-do Malaysia (MAKAF), P. Thiagu, mendakwa jawatankuasa eksekutif badan induk itu tidak boleh mengambil sebarang tindakan kerana pemilihan yang diadakan Oktober tahun lalu belum diiktiraf Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Wakil kumpulan 12 ahli gabungan itu tampil menentang rancangan MAKAF dalam mesyuarat di Melaka, minggu lalu, untuk mengambil tindakan terhadap sebahagian daripada mereka.

Ia susulan pengesahan PJS yang masih mengiktiraf jawatankuasa lama walaupun selepas mengadakan pemilihan Oktober lalu.

Pengesahan jawatan itu disahkan melalui mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang bakal diadakan.

"Kami telah mendapatkan satu salinan daripada PJS yang menyatakan ahli jawatankuasa yang sah ketika ini adalah terdiri daripada jawatankuasa yang lama," jelas Presiden Persatuan Karate-do Putrajaya, Thiagu.

Sementara itu, Presiden Persatuan Karate-do Goju-kai Malaysia, Jee Chek Hwan, turut menempelak tindakan MAKAF dengan berkata: "Selepas EGM mahu diadakan, barulah mereka sedar bahawa isu ini sudah menjadi besar.

"Kami telah berusaha untuk mengadakan EGM ini sejak Januari lalu lagi, jadi kami akan tetap meneruskannya."

Kumpulan tersebut akan melancarkan undi tidak percaya terhadap beberapa pegawai utama MAKAF dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) di Ipoh, Perak, 9 Jun ini walaupun badan induk itu mahu mengambil tindakan terhadap lima ahli gabungan.

Persoalan ketika ini, adakah EGM itu sah? Begitu juga dengan status barisan exco MAKAF?

"Ini bukan politik untuk mereka mengadakan undi tidak percaya.

"Kalau lantikan politik, bolehlah mereka boikot," kata Setiausaha Agung Makaf, Datuk Nur Azmi Ahmad.