Walaupun tidak lagi berada dalam program kebangsaan, Jawairiah Noordin, membuktikan dia masih pemain tenis nombor satu negara apabila mengungguli saingan Terbuka Kuala Lumpur 2018 hari ini.

Jawairiah tidak berselindung di sebalik usia yang semakin menghampiri penghujung kerjaya sebagai pemain sepenuh masa tetapi aksi sepanjang Terbuka Kuala Lumpur 2018 membuktikan dia masih aset berharga buat tenis Malaysia.

Final acara perseorangan menyaksikan dia mudah mengetepikan wakil Indonesia, Oxi Gravitas Putri, 6-2, 6-2 dan lebih mengagumkan, dia hanya melalui persiapan dalam tempoh seminggu sebelum saingan bermula Rabu lalu.

"Pada mulanya memang saya tidak yakin kerana saya cuma melalui tempoh latihan selama seminggu. Syukur saya tidak berputus asa dan ia sudah menjadi rezeki kali ini," katanya.

Dalam saingan lelaki, Ahmed Deedat Abdul Razak, dipaksa menelan kepahitan apabila gagal memastikan wakil perseorangan Malaysia muncul juara.

Dia tewas ketika menentang pilihan utama dari Thailand, Palaphoom Kovapitukted.

Ahmed Deedat cuba memberikan cabaran sengit, terutama dalam aksi set kedua, sebelum menyerahkan kejuaraan kepada lawan setelah tewas 6-1, 6-3.

"Perlawanan hari ini sangat sukar. Ia menampilkan satu tahap baru dalam karier tenis saya dan ia tidak dijangkakan.

"Saya gagal meneruskan momentum baik sebelum ini," ujarnya.

Secara keseluruhan, pentas Terbuka Kuala Lumpur edisi kelapan menawarkan hadiah kemenangan berjumlah RM69,150 keseluruhan.