Choong Javen sedia mengeluarkan wang sendiri bagi menampung persediaan latihan untuk menghadapi Sukan Olimpik Remaja di Buenos Aires, Argentina pada Oktober depan selepas muncul atlet ping pong Malaysia yang pertama melayakkan diri ke temasya sukan itu.

Javen melakar kejayaan bersejarah selepas muncul juara pusingan kelayakan zon Asia di Bangkok pada 9 Mei lalu.

Sehubungan itu, dia menyatakan kesediaan untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk berlatih di luar negara, terutama di China, bagi memantapkan lagi persiapan ke Buenos Aires.

Bagaimanapun, perbincangan rapi akan dilakukan bersama barisan kejurulatihan dan Majlis Sukan Negara (MSN) seandainya mereka mempunyai alternatif terbaik untuk dirinya.

"Kalau ada peluang, memang saya mahu keluarkan duit sendiri walaupun ia lebih baik kalau MSN sediakannya.

"Saya bercadang mahu ke China kerana mereka mempunyai ramai pemain berkualiti," ujarnya.

Ini merupakan pencapaian tertinggi buat Javen yang baru sahaja beralih ke peringkat senior sejak 2016.

"Pada awalnya, saya tiada sasaran, hanya memberikan aksi yang baik. Selepas melihat undian, saya hanya mahu bermain bersungguh-sungguh tanpa memikirkan kelayakan," katanya lagi.

Selain Javen, turut sama menempah slot ke Sukan Olimpik Remaja Argentina adalah skuad hoki lima sepasukan lelaki dan wanita serta atlet gimrama, Rayna Hoh.