Ketua jurulatih skuad olahraga negara, Zainal Abas, meramalkan Malaysia akan memiliki pengganti Zaiful Zainal Abidin dalam tempoh tiga tahun lagi susulan kejayaan kuartet 4x400m lelaki kebangsaan meraih pingat gangsa dalam Kejohanan Olahraga Remaja Asia di Gifu, Jepun, Ahad lalu.

Kejayaan kuartet negara itu menamatkan kemarau 30 tahun dengan meraih pingat 4x400m dalam Kejohanan Remaja Asia, menghadirkan harapan baru.

Luqmanul Hakim Khairul Akmal, Muhammad Ilham Suhaimi, Muhd Saiful Safwan Saifuddin dan Abd Wafiy Roslan mencatat masa 3 minit 9.60 saat -- ketinggalan di belakang juara, Sri Lanka, dan Thailand yang merangkul perak.

Ia membuktikan mereka berpotensi menggantikan Zaiful yang juga bekas pemenang pingat emas Sukan SEA dan masih lagi memegang rekod kebangsaan 46.41 saat sejak 17 tahun lalu.

"Mereka inilah yang kita harapkan dalam masa dua atau tiga tahun akan datang untuk kita menikmati hasil mereka.

"Kami mengharapkan dengan usia dan masa panjang yang ada, mereka mampu memperbaiki prestasi mereka dan satu hari nanti mengembalikan kegemilangan 4x100m," kata Zainal.

Skuad negara tiba ke tanah air semalam selepas meraih dua gangsa, dengan satu lagi gangsa disumbangkan Muhammad Zulfiqar Ismail dalam acara 100m lelaki.