Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, menyasarkan untuk tampil dengan persembahan lebih baik dalam penampilan kedua di temasya Sukan Komanwel meskipun mengharungi tempoh persediaan yang singkat sebelum ke Gold Coast pada April tahun depan.

Jackie mengesahkan tempat ke Gold Coast selepas menduduki kelompok 10 terbaik dalam carta kedudukan peserta Komanwel tahun ini.

Saingan pada April depan itu merupakan penyertaan keduanya dalam Sukan Komanwel selepas edisi 2014 di Glasgow, di mana dia gagal melepasi pusingan kelayakan menerusi balingan 59.24 meter.

Bagaimanapun, Jackie yang memecahkan rekod kebangsaan hasil catatan 65.9m ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yakin situasi di Gold Coast pastinya lebih berbeza.

"Setakat ini, jarak yang saya lakukan mungkin meletakkan saya dalam kedudukan kesembilan atau ke-10.

"Saya yakin tempoh empat bulan mampu membantu saya untuk mencatat rekod baru," katanya.

Jackie merupakan antara atlet yang dicadangkan ke Program Podium oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), namun dia tidak menepati kriteria yang ditetapkan.

Jackie kini masih kekal menjalani latihan di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN) dan satu-satunya perkara yang membimbangkannya adalah tempoh empat bulan yang disifatkannya cukup singkat.

"Kini saya masih berada di bawah MSN dan tidak pasti sama ada disenaraikan dalam program lain atau tidak.

"Saya teringin untuk menjalani latihan di luar agar dapat meningkatkan prestasi," ujarnya.