Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong, menyasarkan balingan sejauh 67 meter dalam pusingan kelayakan Kejohanan Olahraga Trek dan Padang Asia (ATF) 2019 yang akan berlangsung di Doha, Qatar, Ahad ini.

Dalam saingan kali ini, Jackie tidak meletakkan sebarang sasaran pingat dengan tumpuan hanya mahu memecahkan rekod kebangsaan miliknya, 66.01 meter, yang dilakar dalam Terbuka Malaysia, April tahun lalu.

Jackie, yang sebelum ini menamatkan saingan Grand Prix Terbuka Malaysia dengan balingan sejauh 65.87m, mengakui berdepan laluan sukar apabila perlu menghadapi pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016, Dilshod Nazarov.

Bagaimanapun, atlet berusia 27 tahun itu bersedia untuk memberikan aksi terbaik selepas melakukan persiapan lengkap daripada segi latihan di bawah bimbingan jurulatihnya, Gu Yuan.

"Saya perlu melakukan balingan sekurang-kurangnya 67 meter dalam saingan kelayakan yang akan berlangsung Ahad ini untuk beraksi dalam pusingan utama," katanya.

Dalam masa sama, pemegang pingat pingat emas Sukan SEA Kuala Lumpur itu belum meletakkan dirinya dalam kedudukan selesa untuk layak ke Sukan SEA Filipina, November depan dan masih mahu mencipta kejayaan dalam kejohanan akan datang.

"Saya perlu berusaha dengan lebih baik bagi memastikan keputusan positif berjaya diperoleh dalam Sukan SEA nanti."