Juara Sukan Komanwel 2018, Aznil Bidin, menggalas tugas penting untuk membalas kepercayaan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) yang sanggup melunaskan denda sebanyak RM106,000 bagi membolehkan skuad negara menyertai Kejohanan Angkat Berat Dunia 2019 di Pattaya, Thailand.

Empat peserta negara lagi yang terdiri daripada Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, Muhammad Erry Hidayat, Mohd Yusoff Nandong dan Nur Atikah Mahamad Sobri perlu membalas kepercayaan badan induk itu menerusi pingat dalam Kejohanan Dunia, hujung bulan ini.

Ia susulan tindakan pada saat-saat akhir PABM yang membayar denda tersebut kepada Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) ekoran kes doping yang lalu.

Harapan tersebut diketuai Aznil yang dijangka mampu mencipta kejutan dalam kategori 61kg.

"Saya berterima kasih kepada PABM yang bertungkus-lumus untuk (memastikan) kami dapat ke Pattaya.

"Saya akan berhabis-habisan untuk meraih mata kelayakan yang tinggi demi layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Saya harap dapat membuat kejutan untuk Malaysia," kata Aznil di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, sebelum berlepas ke destinasi kejohanan, hari ini.

Atlet Malaysia baru menamatkan program latihan di Kuala Rompin, Pahang, sejak Julai lalu.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah memenangi pingat dalam kejohanan itu. Lebih menarik, pemenang pingat akan meraih tiket automatik ke Sukan Olimpik 2020.

"Saya ingat (sudah) tidak dapat pergi, terima kasih kepada PABM kerana bersusah-payah untuk menjayakan (hasrat kami untuk menyertai pertandingan ini).

"Saya harap kami dapat buat yang terbaik," kata Ery yang akan bertanding dalam kategori 73kg.

Sementara itu, bekas pemenang pingat gangsa Sukan SEA 2011, Firdaus Abd Razak, mencadangkan kepada PABM supaya mewujudkan peraturan ke atas persatuan negeri yang perlu membayar denda jika atlet mereka dikesan positif dalam kejohanan tempatan.

Ia bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti sukan itu mengenai bahaya penggunaan bahan terlarang.

"Mungkin persatuan negeri boleh mencari formula dengan mencari dana daripada badan korporat atau dana khas.

"Bukan (bermaksud) kami menggalakkan atlet mengambil bahan terlarang tetapi ia untuk mengelak apabila kes ini berlaku, barulah mereka mahu mencari dana.

"Akhirnya, tanggungjawab ini (dilakukan lebih awal) di peringkat negara.

"Untuk sukan ini dihormati, kami harus memikirkan satu formula untuk adakan dana bagi menyelesaikan isu doping," kata Firdaus.

Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) akan bermesyuarat Khamis ini bagi menentukan peluang angkat berat dalam temasya di Johor tahun depan susulan keputusan negatif lima atlet kebangsaan yang diuji di Bukit Jalil, baru-baru ini.