Jurulatih skuad pecut negara, Mohd Poad Md Kassim, dijangka tiada kaitan dengan dakwaan membabitkan kes doping seorang atlet muda olahraga negara apabila Jawatankuasa Siasatan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) tiada bukti untuk mengaitkannya.

Dia dilihat tenang dan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses siasatan kedua di ibu negara hari ini selepas seorang atlet muda dikesan positif bahan terlarang jenis steroid.

Mohd Poad, yang melahirkan dua raja pecut Sukan SEA, Khairul Hafiz Jantan (2017) dan Haiqal Hanafi (2019), bagaimanapun, enggan memberikan sebarang kenyataan.

Segalanya bermula apabila atlet muda berkenaan mendakwa telah diberikan makanan tambahan oleh jurulatihnya.

Dia yang membarisi kuartet 4x100m negara dalam Kejohanan Tertutup Malaysia di padang Majlis Sukan Negara, Ogos lalu didapati positif bahan terlarang berkenaan.

Sampel A air kencingnya dikesan mengandungi steroid jenis methasterone dan oxymethalone dan boleh dijatuhi hukuman penggantungan selama empat tahun jika didapati bersalah.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Antidoping KOM, Datuk R. Anamalai, mengakui pihaknya tiada bukti untuk meneruskan dakwaan terhadap Mohd Poad.

Bagaimanapun, keputusan siasatan itu hanya akan diumumkan selepas pihaknya membentangkannya dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan KOM minggu depan.

"Setakat ini, kami tiada bukti, jadi perlu tunggu dulu.

"Tidak ada disebutkan sebarang nama," katanya.

Berdasarkan kod Agensi Antidoping Dunia (WADA), seseorang atlet perlu bertanggungjawab terhadap setiap bahan yang dimasukkan ke dalam tubuhnya kecuali dapat membuktikan bahawa dia merupakan mangsa penganiayaan.

"Ia baru hari ini, kami juga perlu bertimbang rasa kerana atlet ini berpotensi," kata Presiden KOM, Datuk S.M. Muthu.

"Lagipun, untuk sengaja memberikan hukuman kepada jurulatih ini juga sesuatu yang tidak patut.

"Kerana itu kami perlu berbincang dalam (mesyuarat) jawatankuasa kecil dan mengambil keputusan yang baik buat semua orang," katanya.




Editor: Muzaffar Musa