Isu doping: Poad bersemuka dengan KOM 

Oleh Staff Writer 16 Januari 2020 969
Isu doping: Poad bersemuka dengan KOM 
Proses siasatan membabitkan kes doping seorang pelari berusia 17 tahun sedang dijalankan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil. 

Selepas sejam, proses siasatan yang diketuai Datuk S.M. Muthu dan Pengerusi Jawatankuasa Anti-Doping KOM, Datuk R. Annamalai, dengan jurulatih, Mohd Poad Kassim, dan atlet itu masih berlangsung.

Keputusan siasatan itu pasti akan mencuri tumpuan kerana berdasarkan kod Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), hukuman terhadap penggunaan bahan terlarang jenis steroid adalah penggantungan mandatori selama empat tahun. 

Apakah benar dakwaan bahawa Poad terbabit dalam kes itu pasti mencuri tumpuan kerana rata-rata jurulatih dan atlet olahraga amat mengenali sikap peribadinya yang menekankan aspek pemakanan dan juga makanan tambahan kepada atlet negara yang pernah digilapnya seperti jaguh pecut Asia Tenggara 2017 dan 2019, Khairul Hafiz Jantan dan Haiqal Hanafi. 

Pastinya jurulatih kelahiran Melaka itu tahu dan lebih arif mengenai aspek pemakanan atlet negara tetapi semuanya bergantung kepada keputusan jawatankuasa siasatan itu. 

Apakah KOM akan menjatuhkan hukuman hari ini atau proses itu akan ditangguhkan ke satu tarikh lain? 

Ikuti perkembangannya menerusi edisi Nadi Arena selanjutnya


 


Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen