Institut Sukan Negara (ISN) menjanjikan keterbukaan kepada pengamal media untuk membuat liputan perkembangan atlet, terutama menjelang dua temasya besar tahun ini, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

Ia diluahkan Pengerusi ISN, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi, yang melihat hubung kait di antara media dan atlet adalah penting.

Justeru, adalah tidak wajar untuk menyekat pihak media membuat liputan jika ia melibatkan atlet yang memiliki potensi membawa kejayaan buat negara.

Bagaimanapun, ia perlu melewati persefahaman yang membawa maksud ia sebenarnya kebenaran bersyarat.

"Kami akan menampung apa sahaja yang kami mampu. Kami akan bercakap dengan persatuan sukan kebangsaan, kami akan cuba bercakap dengan atlet. Kami akan mengadakannya di sini berbanding pergi ke venue latihan. Kita boleh berjumpa di sini," katanya.

Perkara itu turut disambut baik Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Ahmad Khawari Isa, yang menegaskan persefahaman membabitkan media-ISN adalah demi kebaikan semua pihak.

"Kami memahami jadual sibuk latihan tetapi kalau kita boleh buat penjadualan, kami boleh akses secara tersusun. Kami tidak perlu lagi mengganggu mereka dalam latihan dan mereka tidak lari daripada kami. Semuanya lebih sistematik," kata Khawari.