Kapten skuad hoki dalam air negara, Ishmael Fadullah, akan memastikan perancangan bagi menubuhkan persatuan sukan itu berjalan lancar dalam masa terdekat sebelum bermulanya Sukan SEA Filipina, penghujung tahun ini.

Ketika ini, hoki dalam air tidak bernaung di bawah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahupun Majlis Sukan Negara (MSN) selain turut bergerak tanpa persatuan sukan rasmi.

Bagi memastikan hasrat beraksi dalam Sukan SEA tidak terjejas, Ishamael bersama jurulatih, Roshan Balakrishnan, sedang berusaha untuk menubuhkan Persatuan Sukan Hoki Dalam Air bagi memudahkan lagi segala perancangan akan datang.

Kini, mereka masih menanti perbincangan bersama MOM berhubung hasrat untuk dipertimbangkan beraksi dalam temasya dwitahunan itu.

"Kami telah menghantar kertas kerja kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) dan ia dalam masih dalam proses. Pihak MOM turut memahami situasi kami dan berharap segalanya berjalan lancar," kata Ishmael.

Pasukan itu dalam persiapan ke Kejohanan Jemputan Hoki Dalam Air di Manila, bulan depan di mana ia merupakan pentas ujian pertama skuad negara beraksi di venue sama dengan Sukan SEA edisi ini.

"Kami masih belum memiliki pengalaman beraksi dalam pertandingan dan kKejohanan jemputan di Manila itu sangat penting kerana ia adalah pentas untuk kami menguji kebolehan," katanya.