Atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin, akan mendedahkan esok bagaimana dia mendapat dana untuk membiayai program latihannya di Eropah walaupun Majlis Sukan Negara (MSN) belum meluluskan permintaannya.

Irfan dilaporkan akan tetap berlatih di Republik Czech dan itu keputusan pemegang rekod kebangsaan tersebut walaupun permohonannya untuk berlatih di Eropah, termasuk mendapatkan khidmat jurulatih, belum diputuskan MSN.

Persoalannya, siapa yang membiayai program latihan Irfan di Republik Czech?

"Daripada mesyuarat semalam, tidak begitu banyak perkara yang dibincangkan. Selanjutnya, saya akan ke Eropah esok dan berada di lapangan terbang sekitar jam 9 malam.

"Jadi, kepada media yang ingin tahu lebih lanjut dan mahu mendapatkan kenyataan daripada saya mengenai apa yang berlaku, boleh datang ke lapangan terbang," kata Irfan.

Program latihan selama 85 hari di Eropah itu dipercayai menggunakan kos mencecah hampir RM100,000.

Irfan juga akan mendapatkan sentuhan calon jurulatih baru, Imrich Bugar, seperti yang dicadangkannya kepada MSN dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Sementara itu, KOM tidak menghalang Irfan meneruskan rancangan untuk berlatih di Republik Czech tetapi dia tetap berdepan risiko dikenakan tindakan selepas mempersoalkan perancangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, terhadap atlet negara.

"Saya tidak bagi hukuman. Sama ada dirujuk kepada panel disiplin atau Irfan menerima amaran, itu bergantung kepada pihak kesatuan," ujar Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim.

Apa yang menjadi persoalan, bagaimana KOM boleh menghukum Irfan sedangkan dia akan berlatih di Republik Czech hingga penghujung April depan?