Atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, semakin hampir untuk memenuhi hasrat berlatih di Eropah dan mendapatkan jurulatih baru selepas mengadakan pertemuan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).

Irfan bertemu MSN dan KOM di Bukit Jalil bagi membincangkan isu mengenai tindakannya mengkritik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Situasi berpihak kepada pemegang rekod kebangsaan itu apabila MSN meminta dia menyediakan butiran lebih lengkap mengenai perancangan berlatih lebih dua bulan di Republik Czech selain hasrat mendapatkan jurulatih baru.

Bagaimanapun, ia tidak bermakna Irfan terlepas daripada sebarang hukuman atas tindakannya awalnya itu.

"Kami masih lagi mendapatkan maklumat lanjut daripada Irfan sebelum mendapatkan keputusan pihak atasan," kata Pengarah Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

"Kami telah berbincang dengan program latihan yang dimohon Irfan sebelum ini."

MSN akan mengadakan pertemuan dengan skuad olahraga negara Selasa ini ,sekali gus gambaran lebih jelas mengenai status Irfan.

KOM pula didesak mengenakan hukuman terhadap pemenang pingat perak Kejohanan Asia 2018 itu menerusi jawatankuasa disiplin.