Kontinjen Terengganu dijanjikan insentif daripada kerajaan negeri sekiranya memenangi kilauan pingat dan membantu Terengganu mencapai sasaran muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) di Perak.

Pengerusi Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, menjelaskan bahawa selain imbuhan RM3,000 kepada pemenang pingat emas, RM2,000 (perak) serta RM1,000 (gangsa), ganjaran tambahan juga disediakan kepada atlet terbaik.

Imbuhan itu berupa tajaan menunaikan umrah kepada olahragawan dan olahragawati Sukma dan RM5,000 jika anugerah tersebut dimenangi atlet bukan Islam negeri itu.

"Pihak kami yakin 555 atlet terpilih ini mampu merealisasikan misi merampas kedudukan teratas pungutan pingat bersandarkan persiapan rapi dilakukan Majlis Sukan Negeri (MSNT)," ujar Wan Sukairi.

Terengganu menyasarkan 53 pingat emas, tidak termasuk acara bonus yang diyakini memiliki prospek terbaik menambah jumlah itu dengan sukan berbasikal diletakkan sasaran terbanyak, iaitu sembilan emas.

Sukan memanah, pelayaran, judo dan olahraga juga menjadi perhatian negeri itu walaupun mengakui bakal berdepan saingan sengit tuan rumah, Perak, Selangor, Sarawak, Johor serta Wilayah Persekutuan.

"Sebanyak 53 pingat emas menjadi sasaran diyakini mampu dicapai selain beberapa acara tambahan untuk meraih sehingga 69 emas seperti disasarkan sebelum ini.

"Perjuangan atlet-atlet akan bermula dan saya tahu mereka tidak akan menghampakan harapan 1.5 juta rakyat Terengganu," tambah Wan Sukairi pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Sukma Terengganu, malam tadi.

Turut hadir ketua kontinjen, Samiun Salleh, timbalan ketua kontinjen, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk A. Rahman Yahya.