Dengan kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga pada tahun ini, penembak negara, Mohd Ezuan Nasir Khan, mahu menambah koleksi baju raya dan persediaan lain memandangkan situasi ini jarang berlaku kepadanya.

Bergelar atlet negara, itulah pengorbanan yang terpaksa ditempuhi Ezuan yang jarang mendapat peluang menyambut Aidilfitri bersama keluarga.

Jika sebelum ini sambutan raya hanya dipenuhi dengan jadual latihan dan kejohanan di luar negara, kali ini cukup berbeza.

Katanya, apabila dia mendapat peluang untuk beraya bersama keluarga, keterujaan itu dizahirkan menerusi tambahan baju raya.

Ia kedengaran agak normal, namun apa yang disuarakan Ezuan benar-benar menggambarkan kegembiraannya kerana dapat bersama sanak saudara pada hari lebaran.

"Sejak 2014, saya betul-betul dapat sebulan berpuasa di Malaysia dan beraya bersama keluarga tahun ini. Rasa nikmat sambut hari raya tahun ini, memang tidak sabar rasanya," ujarnya.

Bagaimanapun, selepas sambutan Aidilfitri, jadual Ezuan kembali seperti biasa menerusi persediaan sebelum ke Sukan Asia.

Penampilan ke Sukan Asia kali ini cukup berbeza apabila skuad menembak negara terpaksa akur dengan kuota kategori B, tidak seperti edisi kebiasaan.

"Sebenarnya saya tidak mendapat apa-apa maklumat daripada mesyuarat MOM (Majlis Olimpik Malaysia).

"Saya hanya tengok dan mengetahuinya daripada televisyen (laporan media)," katanya lagi.