Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali, kecewa kerana insiden penerjun negara berfoya-foya di China, Februari lalu, menjejaskan imej sukan negara menjelang Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Video beberapa penerjun negara mengambil minuman keras dalam kejadian itu tersebar di laman sosial.

Ia menunjukkan pergaulan bebas antara penerjun lelaki dan wanita tanpa kawalan jurulatih hingga menjejaskan imej sukan negara.

Lokman, bagaimanapun, menjelaskan bahawa pihak KBS dan Program Podium mahu memastikan persiapan ke Sukan Asia tidak terjejas dan berharap sasaran pingat mampu dicapai.

"KBS dan Program Podium akan terus komited dengan persiapan ke Sukan Asia dengan sasaran berada dalam kelompok 10 terbaik," kata Lokman.

"Kami telah mengenal pasti bahawa sukan terjun merupakan lubuk pingat buat negara.

"Dalam hal ini, kami akan berusaha mendapatkan ulasan yang lebih lanjut daripada atlet dan pihak Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan mempertimbangkan tindakan yang sewajarnya dikenakan," ujarnya.

Pegawai Program Podium, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) telah memanggil semua penerjun untuk menjalankan siasatan dengan keputusan awal, elaun latihan mereka digantung dan berdepan hukuman tidak lama lagi.