Atlet memanah negara, Muhammad Ikram Joni, enggan lagi berputih mata dengan terus dipinggirkan daripada skuad memanah elit negara dan menyifatkan sudah menemui sentuhan untuk memikat hati ketua jurulatih, Lee Jae-hyung.

Masih segar dalam memorinya apabila diketepikan daripada skuad Sukan SEA Kuala Lumpur tahun lalu yang menyaksikan pemanah muda, Muhammad Zarif Syahir Zolkepeli, diberi peluang.

Dia tidak rela lagi episod sama berulang apabila Jae-hyung awal-awal lagi menegaskan hanya akan menyenaraikan empat pemanah ke Kejohanan Siri Memanah Piala Dunia di Shanghai, 23 April depan.

Jika prestasi latihan semasa menjadi ukuran, Ikram percaya dia mampu menambat semula hati Jae-hyung.

"Prestasi saya pada tahun ini semakin meningkat kerana saya sudah jumpa teknik terbaik yang saya cari selama ini," kata Ikram.

Sesi latihan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil kini menyaksikan barisan pemanah negara giat menyesuaikan diri dalam cuaca tidak menentu serta angin yang kencang.

Namun, ia dilihat bukan masalah besar kerana kebiasaannya apabila kejohanan berlangsung, barisan pemanah menghadapi situasi yang sama.

"Kalau suasana berangin, itu lebih bagus kerana kebanyakan kejohanan yang kami sertai di luar negara juga berangin.

"Contohnya kejohanan di Turki yang diadakan di tepi pantai," kata Ikram lagi.