Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, mahu menjadikan Kejohanan Perak All-Comers, Sabtu ini, sebagai platform untuk dia menguji keberkesanan teknik larian tujuh langkah yang baru digunakannya.

Hup Wei bersedia untuk menggunakan teknik larian itu dengan harapan mampu melakukan catatan lebih baik bagi memperbaharui catatan peribadinya, 2.28 meter.

Teknik tujuh langkah itu memerlukannya untuk meningkatkan kepantasan larian berbanding teknik sembilan langkah yang kerap digunakannya sebelum ini.

Justeru, kejohanan di Ipoh itu ibarat medan pemanas badan untuk dia menguji teknik baru itu sebelum menyertai Kejohanan Olahraga Terbuka Filipina bulan depan.

"Teknik tujuh langkah memerlukan rentak larian yang berbeza.

"Saya perlu lebih pantas dengan posisi badan yang lebih tepat.

"Ia bermakna larian saya akan menjadi lebih pendek dan perlu lebih pantas," katanya.

Kejohanan di Ipoh berkenaan mungkin kelihatan mudah buat pemenang pingat emas dalam tiga edisi Sukan SEA itu.

Dia hanya meletakkan sasaran untuk melakukan catatan melebihi ketinggian 2.20 meter.

Namun, dia meletakkan sasaran berbeza dalam kejohanan di Filipina di mana dia memburu ketinggian yang menghampiri 2.30 meter untuk dijadikan kayu pengukur sebelum ke Kejohanan Trek dan Padang Asia (ATF), April depan.

"Ia sepatutnya tidak menjadi masalah.

"Saya cuma perlu memperbaiki teknik larian saya kerana ia masih belum stabil," tambahnya.