Atlet lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, mahu lebih banyak pendedahan kejohanan berbanding sekadar berlatih di luar negara dalam misinya membuat penampilan kali ketiga di pentas Sukan Olimpik tahun depan.

Setakat ini, tiada lagi perancangan rasmi daripada atlet berusia 32 tahun itu atau Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) kerana tumpuan terarah kepada Sukan SEA Filipina yang hanya kurang sebulan sahaja lagi.

Perbincangan rasmi hanya akan diputuskan selewat-lewatnya Januari 2020 dengan atlet dari Selangor itu mempunyai masa lebih kurang enam bulan sahaja sebelum tarikh tutup kelayakan ke Tokyo 2020 pada 29 Jun depan.

Bagi Hup Wei, dia lebh selesa berlatih di tanah air, namun meletakkan harapan tinggi untuk disenaraikan dalam menyertai saingan olahraga bertaraf Liga Berlian yang menawarkan mata kelayakan tinggi.

Dia pernah dua kali beraksi di pentas itu pada 2008 di Bejing selepas layak secara merit sambil pergi atas tiket kelayakan khas dalam saingan di London, tujuh tahun lalu.

"Selepas Sukan SEA, baru saya akan berbincang dengan jurulatih mengenai perancangan seterusnya. Sekarang kami mahu fokus kepada Sukan SEA. Untuk tahun depan, tidak banyak acara besar," katanya.

"Sekarang saya rancang untuk kalau boleh menyertai Liga Berlian kerana ramai atlet bertaraf dunia di sana."

Bagi misi Sukan SEA Filipina, di sebalik status sebagai peserta pilihan, dia dan rakan sepasukan, Nauraj Singh, berhasrat meneruskan penguasaan Malaysia dalam acara lompat tinggi sejak enam edisi lalu dengan masing-masing sudah melakar hatrik sejak edisi Thailand 2007.

"Untuk Sukan Sea, tidak kisah saya atau Nauraj menang. Apa yang penting, Malaysia pertahankan emas," tambah Hup Wei.