Hukuman penggantungan selama empat tahun dijatuhkan secara automatik selepas bekas badang negara, Mohd Hafifi Mansor, dan Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) gagal memberi maklum balas kepada badan antarabangsa sebelum tarikh akhir, 23 Oktober tahun lalu.

Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) kecewa dengan masalah pentadbiran pegawai lama PABM yang menyaksikan Hafifi tidak mendapat gambaran sebenar selepas positif doping, tahun lalu.

Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) menghantar surat kepada PABM untuk memaklumkan badan induk itu atau Hafifi perlu memberi maklum balas bagi menjalankan proses pendengaran.

Bagaimanapun, kedua-dua pihak tidak memberi sebarang reaksi sebelum tarikh akhir pada 23 Oktober lalu, sekali gus membuatkan hukuman penggantungan empat tahun itu dijalankan secara automatik.

"Apabila hukuman dijatuhkan dan tiada maklum balas, maka tempoh empat tahun penggantungan akan bermula.

"Jadi, atas dasar itu, saya rasa pihak persatuan, pegawai-pegawai atau wakil rasmi yang telah berubah setelah pilihanraya persatuan sebelum ini membuatkan hukuman itu boleh dianggap telah berjalan," ujar Pengarah ADAMAS, Datuk Dr. Ramlan Abdul Aziz.

April lalu, bekas Presiden PABM, Datuk Ong Poh Eng, memaklumkan Hafifi digantung empat tahun selepas positif oxymetholone dan badan itu bercadang memanggil Hafifi untuk menjalankan proses pendengaran selepas Aidilfitri.

Hafifi berpeluang untuk mengurangkan hukuman penggantungan empat tahun itu jika dapat membuktikan dia hanya menjadi mangsa penganiayaan.