Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pembangunan Insan Negeri Perak, Howard Lee Chuan How menyifatkan karnival Sukan Kombat kali pertama Perak yang berakhir hari ini sebagai satu kejayaan.

Chuan How berkata empat acara diadakan iaitu silat, silambam, Muay thai dan wushu berjaya mencapai misi memupuk dan mengeratkan perpaduan di kalangan atlet dan kaki tangan.

"Buat kali pertama di Perak empat sukan dipertandingkan di bawah satu bumbung.

" Semua berjalan lancar dan saya ucapkan tahniah kepada atlet yang telah menjayakan program ini.

"Selama dua hari ini mereka ketepikan soal kaum dan budaya dan bercampur gaul sesama mereka.

" Saya tersentuh apabila ada atlet bukan Cina tampil untuk menerima hadiah acara Wushu bererti sukan itu bukan didominasi oleh kaum Cina sahaja

"Ini perkembangan sihat dalam kita membina satu bangsa Malaysia.

" Bagi saya mereka menjadi duta keamanan, perpaduan dan kedamaian, "kata Chuan How dalam ucapan perasmian penutup di AEON Big, Falim.

Justeru beliau membayangkan kemungkinan karnival seumpama itu di adakan lagi di tahun hadapan.

Seramai 1000 orang terdiri daripada 750 atlet dan 250 Pegawai Teknikal terbabit dalam karnival kali pertama diadakan itu yang menawarkan 452 pingat emas itu.