Ketua jurulatih skuad boling tenpin negara, Holloway Cheah, memberi bayangan untuk bersara dalam masa terdekat selepas berpuas hati dengan pencapaian dua pingat emas dalam Kejohanan Boling Lelaki Dunia di bawah kendalian penolongnya, Ben Heng Boon Hian.

Ben diberikan kepercayaan oleh Holloway untuk membimbing skuad lelaki negara di Hong Kong, minggu lalu.

Dia dilihat sudah bersedia menjadi pengganti Holloway pada masa akan datang.

Ben sudah bersama dengan skuad negara sejak 10 tahun lalu.

Sebagai penolong jurulatih, dia mendapat pujian Holloway kerana berjaya mengharungi ujian terbesar sepanjang karier kejurulatihannya.

Holloway, 76, memegang jawatan ketua jurulatih sejak 2004.

Dia mengakui faktor usia kini semakin menghambat dirinya untuk memberikan komitmen dalam skuad kebangsaan.

"Saya cuba untuk menaikkan Ben Heng kerana usia saya semakin tua.

"Dia telah melakukan yang terbaik dalam membimbing pasukan di Hong Kong.

"Dia juga memiliki pengalaman selama 10 tahun di bawah saya.

"Dia cukup kenal dengan skuad negara, namun memerlukan sedikit pengalaman lagi untuk bergelar ketua jurulatih," katanya.

Sementara itu, Ben tidak mahu terburu-buru mengambil alih kedudukan Holloway dengan menyifatkan kejayaan di Hong Kong hanya permulaan kariernya.

Dia menyifatkan Holloway seperti bapanya dan masih memerlukan pengalaman untuk menjadi seorang ketua jurulatih berkaliber.

"Saya sudah lama bersama skuad kebangsaan dan banyak menimba ilmu daripada Holloway.

"Beliau banyak memberikan dorongan kepada saya.

"Persefahaman dalam skuad kebangsaan amat baik ketika ini.

"Itu kekuatan utama yang membutirkan dua pingat emas buat kami," katanya.