Pemain boling padang negara, Nor Hashimah Ismail, melahirkan kesediaan untuk menjadi jurulatih barisan pelapis selepas tidak tersenarai dalam skuad bagi menghadapi Sukan Komanwel Gold Coast dari 4 hingga 15 April ini.

Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Sabtu lalu, mengumumkan senarai akhir 10 pemain yang akan beraksi dalam temasya sukan itu, namun malangnya kejutan berlaku apabila pemain berpengalaman negara itu gagal menempatkan diri.

Menurut Hashimah, walaupun sudah memikirkan peluang untuk bergelar sebagai jurulatih, dia masih meneruskan latihan di bawah Program Podium.

"Saya masih lagi berada dalam Program Podium dan masih lagi berlatih dalam program yang diberikan oleh jurulatih yang sama.

"Selepas mesyuarat Majlis Sukan Negara (MSN) nanti, kalau saya ada peluang menjadi jurulatih bagi barisan pelapis, saya akan ambil.

"Saya sudah bersedia dan melakukan persiapan untuk menjadi jurulatih," katanya.

Mengulas mengenai kegagalannya beraksi di Gold Coast, pemain berusia 46 tahun berkenaan berkata dia sudah menjangkakan keputusan itu, malah menyokong sepenuhnya barisn pemain yang dipilih.

"Saya tidak rasa apa-apa sebab sudah tahu dari awal dan saya bersedia menerima apa jua kejutan. Ia kerana jurulatih mempunyai atletnya untuk dibawa ke Sukan Komanwel.

"Jadi, ia tidak memberi masalah kepada saya kerana saya memandangnya dari sudut positif.

"Pemilihan yang dibuat kemungkinan akan memberikan keputusan yang baik dalam temasya itu. Saya tetap memberikan sokongan kepada kawan-kawan yang dipilih," ujarnya.