Harrif terkilan terlepas aksi di Gold Coast

Oleh Staff Writer 17 April 2018 346
Harrif terkilan terlepas aksi di Gold Coast
Pelumba berbasikal lebuh raya kebangsaan, Mohd Harrif Salleh, terkilan dengan layanan seperti anak tiri oleh Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) selepas tidak menghantar wakil bagi acara itu ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di samping status yang belum pasti dalam Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.

Harrif melihat situasi itu sebagai sesuatu yang amat merugikan kontinjen negara.

Pemenang pingat emas acara leburaya di Gold Coast baru baru ini, Steele Von Hoff, merupakan rakan seperjuangan Harrif yang sering bersaing di antara satu sama lain dan terbaru di pentas Le Tour de Langkawi, namun Harrif sekadar berputih mata melihat kejayaan rakannya itu.

Tidak tahu di mana silapnya, Harrif tertanya-tanya mengapa acara lebuh raya dipandang sepi oleh pihak PKBM sedangkan mereka memiliki banyak pilihan yang mampu membantu menyumbangkan pingat buat negara

"Saya sendiri berasa terpinggir. Kami pernah mengalahkan Von Hoff yang merupakan juara Sukan Komanwel dan pernah berlumba dengannya di Australia. 

"Sekurang-kurangnya apabila kami pergi, kami boleh menimba pengalaman dan mana tahu ada rezeki. 

"Sukan berbasikal lebuh raya ini juga bukan dikira siapa kuat atau tidak, ia lebih kepada nasib. 

"Tidak semestinya yang kuat akan menang," kata Harrif. 

Tiada penyertaan di pentas Komanwel, khabar untuk kemunculan dalam Sukan Asia Jakarta/Palembang juga tiada sebarang berita daripada pihak PKBM sehingga kini.

"Setakat ini, saya masih belum dengar apa-apa perkembangan, saya pun belum tahu siapa yang akan pergi.

"Kalau diberitahu awal, saya mahu membuat persiapan kerana ia merupakan tanggungjawab. 

"Tetapi, kalau diberitahu seminggu lebih awal pun, ia sukar."

Kali terakhir Harrif menyertai Sukan Komanwel adalah pada 2010 yang berlangsung di New Delhi.

Sementara itu, penganjuran perlumbaan berbasikal pada sebelah malam Lebuhraya LEKAS-IJM bakal berlangsung untuk edisi ke-5 pada 18 Ogos depan.

Perlumbaan yang dijangka melibatkan 4,000 penyertaan daripada setiap peringkat umur itu bakal membabitkan cabaran sejauh 120 kilometer -- tambahan 15km jika dibandingkan dengan tahun lalu.

"Kami menyediakan pembelian basikal secara ansuran kerana harga basikal ketika ini agak mahal," kata Pengarah Urusan IJM, Datuk Soam Heng Choon.

Terengganu Cycling Team (TSG) dilantik selaku duta perlumbaan dari pihak penganjur selain jangkaan penyertaan daripada beberapa pasukan profesional domestik yang lain.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen