Jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang, menyifatkan hanya pingat emas dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia di Korea Selatan, Oktober depan, mampu menjadi tiket buat skuad berpasukan negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Azizulhasni dilihat berada di tahap terbaik untuk layak ke Tokyo berdasarkan ranking semasanya dalam acara keirin.

Bagaimanapun, dia mahu dua pelumba muda, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Fadhil Zonis, turut sama menyertainya di Tokyo dengan berusaha untuk meraih pingat emas dalam Kejohanan Asia bagi memperbaiki mata ranking.

Dalam acara pecut berpasukan, Malaysia menduduki ranking ke-14 kelayakan ke Sukan Olimpik manakala dalam acara kejar-mengejar, Malaysia jauh ketinggalan di ranking ke-31.

Hanya lapan negara terbaik akan layak ke Tokyo bagi acara berpasukan.

"Kami wajib menang pingat emas dalam Kejohanan Asia jika mahu layak ke Sukan Olimpik.

"Selain itu, kami perlu menamatkan Piala Dunia di kedudukan lapan terbaik.

"Tetapi yang paling penting adalah pingat emas dalam Kejohanan Asia," tegasnya.

Dalam masa sama, Azizulhasni turut meluahkan kerisauannya terhadap perkembangan skuad wanita selepas tiada seorang pun daripada mereka berlatih di Melbourne.

Ia meletakkan harapan mereka untuk ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi semakin sukar.

"Peluang mereka untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo amat tipis dan rendah.

"Mungkin disebabkan itu mereka perlu pulang untuk berlatih di Malaysia.

"Mungkin pihak Majlis Sukan Negara (MSN) hanya mahu fokus terhadap mereka yang mampu menyumbangkan pingat atau layak ke Sukan Olimpik," tambahnya.