Peninju negara, Mohd Fuad Mohd Redzuan, mengakui berasa janggal apabila hanya namanya yang mengisi slot Sukan Asia 2018 setakat ini.

Sebelum ini, slot Sukan Asia terdiri daripada beberapa nama dalam membawa cabaran negara.

Namun, kali ini agak berbeza apabila Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) hanya menamakan Fuad ke Sukan Asia selaku wakil tunggal negara.

Tetap lega dengan pemilihan yang masih memihak kepadanya, Fuad mengakui berasa janggal, lebih-lebih lagi melewati kem latihan luar negara yang dijangka akan bermula seminggu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Rasa janggal sedikit sebab saya fokus seorang diri untuk Sukan Asia ini. Tiada kawan-kawan untuk kongsi pendapat dan idea. Saya rasa sangat berbeza," katanya.

Fuad sebelum ini mengalami kecederaan retak di bahagian muka ketika saingan pra-Sukan Asia sehingga terpaksa menarik diri daripada Sukan Komanwel bulan lalu.

Dia sudahpun pulih sepenuhnya daripada kecederaan dan sudah memulakan latihan penuh bermula awal bulan ini.

"Saya baru fokus untuk dua minggu ini. Selepas pulih daripada kecederaan, saya masih menyambung cuti kerana isteri saya bersalin. Dan kini saya benar-benar baru fokus," katanya lagi.