Hakimi korban sambutan Aidilfitri

Oleh Staff Writer 18 Mei 2019 45
Hakimi korban sambutan Aidilfitri
Atlet lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail, mengorbankan sambutan hari raya bersama keluarga bagi menempuhi cabaran Kejohanan Olahraga Grand Prix Asia dalam usaha mengejar tiket kelayakan ke pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020. 

Atlet berusia 28 tahun itu menganggap kejohanan jemputan yang akan berlangsung sekitar perayaan Hari Raya Aidilfitri, iaitu pada 2 hingga 8 Jun ini, sebagai satu cabaran yang luar biasa. 

Walaupun terpaksa berjauhan daripada keluarga, Hakimi mahu melalui tekanan bersaing di tahap tertinggi sebagai satu dorongan bagi memperbaiki catatan peribadi terbaiknya, 16.77 meter.

Selain itu, Hakimi juga perlu mencapai catatan 17.14m bagi melayakkan diri ke saingan Olimpik 2020. 

"Kejohanan yang akan datang di China adalah acara yang besar. Akan ada dua kejohanan di sana nanti, iaitu pada 4 dan 7 Jun," kata Hakimi.

"GP Malaysia tidak terlalu tinggi tetapi saingan di China adalah acara sebenar. Ramai atlet yang akan mengambil bahagian."

Berbekalkan kehadiran atlet handalan dari negara Asia lain seperti India, Uzbekistan serta tuan rumah, China, Hakimi positif kejohanan itu mampu menjadi pentas terbaik dalam persiapannya untuk mengejar slot ke Tokyo.

"Ia salah satu sasaran. Kalau catatan saya jauh di sana, banyak perkara saya boleh dapat. Setakat ini, sasaran utama saya adalah layak ke Olimpik," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen