Hafizh perlukan sentuhan Habib

Oleh Staff Writer 24 Februari 2018 10618
Hafizh perlukan sentuhan Habib
"Saya masih memerlukan sentuhan Habib," demikian yang diungkapkan oleh pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah, yang masih lagi berusaha untuk membawa mekaniknya, Habibtullah Mohamad Fuad ke Perancis meskipun menyedari peluang itu agak tipis.

Lebih 10 tahun mengenali Habibtullah, Hafizh tidak meupakan jasa mekaniknya itu yang telah bersama-sama berada dalam dunia perlumbaan jentera dua roda ini.

Semestinya, dia inginkan Habibtullah turut sama menimba pengalaman berguna, sekali gus menjadi mekanik pertama Malaysia ke saingan MotoGP musim ini bersama pasukan Monster Yamaha Tech 3.

Sekiranya usaha itu gagal, bekas pelumba Moto2 negara ini harus bersedia menghadapi saingan walaupun tanpa Habibtullah yang telah bersamanya sejak perlumbaan Cub Prix 2008.

"Saya akan berbincang dengan pengurus pasukan. Saya akan mendengar pendapatnya, kalau dia tanya saya adakah perlu bawa mekanik, saya mungkin akan bawa Habib.

"Saya akan cuba yang terbaik kerana saya dan Habib sudah bekerja bersama begitu lama. Tetapi saya perlu menunggu keputusan daripada mereka," kata Hafizh.

Selain itu, pasukan Tech 3 turut mengumumkan keputusan untuk tidak lagi berkolaborasi dengan Yamaha bermula musim 2019.

Bagaimanapun, itu tidak menjejaskan persiapan Hafizh memandangkan kontraknya juga hanya setahun bersama Tech 3.

"Kalau boleh, saya mahu lebih lama berada dalam MotoGP, saya tidak mahu turun kerana tiada pasukan. Insya-Allah saya akan melakukan yang terbaik," ujarnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen