Thomas Pieters menampilkan aksi cemerlang untuk melonjak selaku pendahulu selepas pusingan kedua Kejohanan Golf Terbuka Malaysia di Saujana Golf and Country Club, Subang, hari ini.

Pemain kelahiran Belgium berusia 27 tahun itu mendahului dengan satu pukulan apabila melakukan empat birdie dan satu bogey untuk catatan tiga bawah par 69, sekali gus mencatat keseluruhan lapan bawah par 136 selepas dua pusingan.

“Pada mulanya saya bergelut dalam membuat pukulan permulaan tetapi akhirnya bertambah baik.

"Saya tidak berasakan ia hari yang baik, cuma saya berusaha melakukan yang terbaik,” kata Peiters, yang sudah memenangi empat kejuaraan sejak beralih menjadi pemain profesional pada 2013.

Dalam saingan hari ini, Pieters melakukan empat birdie dan satu bogey di lubang kedua par-empat untuk mencatat 69 pukulan.

Sementara itu, pendahulu bersama semalaman, Nacho Elvira dari Sepanyol dan pemain Indonesia, Danny Masrin, berkongsi tangga kedua selepas masing-masing mencatat keseluruhan tujuh bawah par 137.

Tujuh pemain, termasuk pemain terkemuka Thailand, Jazz Janaewattananond, dan juara Major dari Afrika Selatan, Ernie Els, ketinggalandengan dua pukulan.

72 pemain mara ke pusingan seterusnya termasuk dua pemain Malaysia, Nicholas Fung dan Gavin Kyle Green.

-- BERNAMA