Pemain Australia, Scott Hend, muncul juara Kejohanan Golf Terbuka Malaysia 2019 apabila melakukan pukulan birdie dalam pusingan playoff bagi menewaskan pemain Sepanyol, Nacho Elvira, dalam pusingan terakhir di Kelab Golf & Country Saujana, Subang, hari ini.

Kedua-dua pemain terikat dengan catatan 15 bawah par 273 selepas selesai pusingan keempat dan keputusan tersebut memaksa mereka beradu nasib dalam pusingan playoff.

Bagaimanapun, Hend, 45, membenam birdie manakala Elvira sekadar melakukan par pada lubang pertama playoff untuk menamatkan kemarau hampir tiga tahun bergelar juara selepas memenangi Piala Ratu Thailand pada 2016.

Kemenangan ke-10 dalam siri Jelajah Eropah dan Jelajah Asia itu membolehkan Hend membawa pulang hadiah wang tunai AS$500,000 (kira-kira RM2.03 juta) serta trofi yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Elvira, yang memulakan pusingan akhir selaku pendahulu dengan kelebihan dua pukulan, menerima hadiah wang tunai AS$333,330 (kira-kira RM1.35 juta).

Dalam pusingan akhir yang mendebarkan itu, Hend yang memiliki kelebihan satu pukulan menuju ke lubang 18, terpaksa menangguhkan permainan selama hampir dua jam berikutan hujan lebat.

Selepas permainan disambung pada jam 4.30 petang, Elvira berjaya melakukan birdie pada lubang terakhir dengan mencatatkan dua bawah par 70 dan mengumpul keseluruhan 15 bawah par 273.

Jumlah itu menyamai mata keseluruhan yang dikumpul oleh Hend yang mencatatkan lima bawah par 67 hari ini.

"Kali ini tuah bersama saya tetapi malang untuk Nacho (Elvira).

"Semangat kami bermain adalah hebat hari ini.

"Kami berdua memberi galakan sesama sendiri untuk bermain dengan baik.

"Itulah cara kami bermain golf,” katanya.

-- BERNAMA