Pemain Sepanyol, Nacho Elvira, melakukan enam bawah par 66 untuk kembali merampas kedudukan pendahulu dalam pusingan ketiga Kejohanan Golf Terbuka Malaysia di Kelab Golf & Country Saujana, hari ini.

Pemain berusia 32 tahun itu, yang berkongsi kedudukan pendahulu pada hari pembukaan dengan pemain Australia, Marcus Fraser, mengumpul keseluruhan 13 bawah par 203 untuk meninggalkan naib juara dari Amerika Syarikat (AS), David Lipsky, dengan dua pukulan.

Tiga pemain -- Maximilian Kieffer (Jerman), Jazz Janewattananond (Thailand) dan Scott Henda (Australia) -- berkongsi kedudukan ketiga selepas ketinggalan tiga pukulan di belakang Elvira.

Nicholas Fung muncul pemain terbaik negara apabila mencatatkan tiga bawah par 69 untuk menghuni tempat ke-14 dengan jumlah 210 pukulan manakala Gavin Kyle Green di tempat ke-40 dengan 213 pukulan daripada keseluruhan 74 pemain.

Dalam pada itu, Elvira, yang merangkul empat kejuaraan selepas menjadi pemain profesional pada 2011, berkata dia akan gembira sekiranya dapat merangkul kejuaraan edisi ini, namun buat ketika ini, dia tidak mahu memberikan tekanan terhadap dirinya.

"Adalah hebat untuk permulaan dalam siri Jelajah Eropah tetapi saya tidak mahu memikirkan terlalu banyak ketika ini.

"Biar kita lihat sahaja apa yang berlaku esok,” katanya selepas menamatkan saingan pusingan ketiga dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai AS$3 juta (kira-kira RM12.2 juta) itu.

Dalam pada itu, Lipsky menyifatkan permainannya bertambah baik sejak dua hari lalu selepas menghadapi masalah dengan pukulan putt sejak dua hingga tiga minggu lalu.

"Keadaan bertambah baik selepas pukulan putt mula menjadi dalam dua pusingan terakhir ini.

"Saya teruja untuk beraksi dalam pusingan akhir esok," katanya.

Juara bertahan dari India, Shubhankar Sharma, gagal menampilkan aksi yang diharapkan apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-32 selepas mencatatkan dua atas par 74 hari ini, sekali gus ketinggalan 10 pukulan daripada pendahulu dengan 213 pukulan.

-- BERNAMA