Shane Lowry melakukan bogey di lubang 18 untuk berkongsi pendahuluan di penghujung saingan hari kedua Kejohanan Golf Terbuka British di Royal Portrush, semalam.

Pemain dari Ireland itu, yang mengejar kejuaraan utama sulungnya, kelihatan akan menolak J.B. Holmes daripada kedudukan pendahulu sambil dia mengintai peluang untuk catatan birdie ketika mendahului satu pukulan di lubang terakhir itu.

Malangnya, dia memerlukan tiga putt untuk catatan lapan di bawah par dan berkongsi kedudukan dengan Holmes.

Dylan Frittelli pula turut berpeluang menyertai mereka, hanya untuk digagalkan double-bogey enam di lubang 17.

Lowry mencatat birdie di empat daripada lima lubang pertama dengan memanfaatkan keadaan cuaca baik dan kekal bertahan dalam keadaan menyukarkan menuju ke lubang terakhir.

Holmes pula menyudahkan hari keduanya dengan 68 sebagai menyusuli catatan 66 pada hari pertama, dengan Tommy Fleetwood dan Lee Westwood mengekori satu pukulan di belakang.

Menyertai dua pemain Inggeris itu dalam kelompok penghambat ialah juara Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2013, Justin Rose, dengan 67.

Cabaran Brooks Koepka juga tidak boleh diperkecilkan menuju ke dua pusingan hujung minggu apabila kembali ke rumah kelab dengan lima di bawah par, begitu juga Cameron Smith dan Justin Harding, yang masing-masing mencatat 65 semalam.

Namun, saingan sudah berakhir buat Tiger Woods, dengan catatan satu bawah par 70 milik juara Masters AS itu tidak cukup untuk menampung catatan buruk 78 pada hari pertama.

Nasib yang sama dialami sandaran utama tempatan, Rory McIlroy, di sebalik kebangkitan dramatik sepanjang 11 lubang pertama untuk jumlah empat di atas par.

Juara bertahan, Francesco Molinari, pula dapat meloloskan diri dengan melakukan sekadar secukupnya untuk bersaing pada dua hari terakhir.

Terbuka British kali ini turut menandakan kali pertama Woods dan Phil Mickelson sama-sama tersingkir awal dalam satu kejohanan utama – kedua-duanya sama-sama terlepas kelayakan buat kali terakhir dalam Terbuka Waste Management Phoenix pada 2015.

Woods gagal lolos di sebalik catatan 70 semalam sambil Mickelson mengulangi catatan 74 pada hari pertama, dengan had kelayakan ialah satu di atas par.

Kedudukan pendahulu (selepas pusingan kedua):

-8: Shane Lowry, J.B. Holmes
-7: Tommy Fleetwood, Lee Westwood
-6: Cameron Smith, Justin Harding, Justin Rose
-5: Brooks Koepka, Jordan Spieth, Andrew Putnam, Dylan Frittelli
-4: Erik van Rooyen, Tony Finau, Lucas Bjerregaard, Patrick Reed, Jon Rahm, Matt Kuchar
-3: Tyrrell Hatton, Dustin Johnson, Alex Noren, Webb Webb Simpson, Henrik Stenson, Xander Schauffele, Rickie Fowler