Gary Woodland menyifatkan kejayaannya menawan Kejohanan Golf Terbuka Amerika Syarikat (AS) sebagai istimewa apabila memenangi gelaran utama pertamanya itu di Pebble Beach, sebentar tadi.

Pemain nombor satu dunia, Brooks Koepka, yang mengintai peluang untuk muncul pemain pertama selepas Willie Anderson melakar gelaran hatrik pada era awal 1990-an, terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

Woodland mengetepikan cabaran rakan senegara serta juara bertahan dua tahun berturut-turut itu apabila merakam dua bawah par 69 untuk mengesahkan kejayaan dengan tiga pukulan, sekali gus menjulang gelaran utama sulungnya.

Pemain berusia 35 tahun itu yang membawa kelebihan satu pukulan menjelang pusingan akhir itu hari ini, gembira dapat menyempurnakan saingan di California itu dengan memuktamadkan kemenangannya dengan birdie di lubang 18 dari jarak 30 kaki.

"Ia kemenangan yang istimewa. Saya tidak pernah bersikap terbawa-bawa dan menganggap kejohanan ini akan berakhir," kata Woodland dalam sesi penyampaian trofi itu.

"Sebaik bola itu masuk ke lubang, terasa hilang segala beban saya. Ia satu pencapaian yang istimewa untuk mengakhiri kejohanan di Pebble Beach (sebagai juara)."

Woodland mengendalikan gemuruhnya dalam pusingan akhir itu, termasuk ketika berdepan ancaman melakukan bogey di lubang 17.

Pemenang empat kali Jelajah PGA itu mendedahkan bahawa dia berhasrat melakukan bogey di lubang terakhir itu.

"Saya sebenarnya telah melakukan pukulan seperti itu awal minggu ini. Ini kali kedua saya melakukannya," katanya.

"Saya mahu cuba untuk melewati halangan yang ada. Saya cuba dan sedia mengambil pukulan keempat jika terpaksa sambil melupakan soal catatan, seterusnya ia terhasil dengan sempurna.

"Saya fikir pukulan itu mempunyai peluang yang baik untuk masuk," ujarnya.

Pemain nombor empat dunia dan juara 2013, Justin Rose, terpaksa berpuas hati di kedudukan ketiga bersama-sama Xander Schauffele (67), Jon Rahm (68) dan Chez Reavie (71).

Selepas melakukan 68 pukulan semalam, pemain dari England itu bergelut apabila mencatat tiga atas par 74 untuk ketinggalan dengan enam pukulan.

Sementara itu, Pemain Muda Jelajah PGA 2017, Xander Schauffele, mengesahkan tempat dalam kelompok tiga terbaik dalam lima penampilan kejohanan utama di samping bekas pemain nombor satu dunia, Adam Scott (68).

Juara empat gelaran utama, Rory McIlroy, pula terikat di kedudukan kesembilan dengan Henrik Stenson (70) dan Chesson Hadley (71) manakala jumlah empat di bawah par yang dirakam Viktor Hovland menyaksikannya mengatasi rekod 282 pukulan pemain amatur yang dipegang Jack Nicklaus pada 1960 dengan pencapaian 280.

Juara Masters dan pemenang 15 gelaran utama, Tiger Woods, mengakhirinya kempennya dengan 69 pukulan dengan jumlah dua bawah par untuk sebaris dengan Jason Day (69) dan Paul Casey (67) berkongsi kedudukan ke-21.

Kedudukan akhir:

271 - Gary Woodland
274 - Brooks Koepka
277 - Xander Schauffele, Jon Rahm, Chez Reavie, Justin Rose
278 - Adam Scott, Louis Oosthuizen
279 - Rory McIlroy, Chesson Hadley
280 - Viktor Hovland, Matthew Fitzpatrick, Matt Wallace, Danny Willett
281 - Webb Simpson, Francesco Molinari, Byeong Hun An, Graeme McDowell, Matt Kuchar
282 - Paul Casey, Alex Prugh, Tiger Woods, Jason Day, Tyrrell Hatton, Hideki Matsuyama, Patrick Cantlay