Pemain Amerika Syarikat, Gary Woodland, melonjak ke tangga teratas kedudukan pendahulu dalam pusingan kedua Kejohanan Golf Terbuka AS di Pebble Beach semalam sambil Tiger Woods terus bergelut untuk kekal dalam saingan.

Woodland memintas pendahulu sebelumnya, Justin Rose, dengan catatan tanpa bogey 65 hasil ihsan satu putt sejauh 50 kaki untuk berjurang dua pukulan.

Juara tiga kali Jelajah PGA itu tidak pernah berkesudahan dalam kelompok 10 teratas dalam mana-mana daripada 27 kejohanan utama sebelumnya tapi tampil 10 terbaik dalam dua daripada empat penampilan terakhirnya.

Sebelum kebangkitan lewatnya itu semalam, Rose mengekalkan pendahuluan dua pukulan untuk lebih dahulu menyudahkan saingan.

Rose ternyata amat agresif dengan putter dengan dua kali membuka pendahuluan tiga pukulan tetapi bogey pada lubang 1 dan 4 menyaksikan dia berkesudahan tujuh di bawah par selepas menamatkan 13 lubang, hanya untuk dipintas Woodland kemudian.

Juara 2013 itu beralih ke sembilan lubang kedua dengan catatan 34 sambil memperbaiki kedudukannya di lubang 15 dan 18.

Rose, yang hanya mendahului satu pukulan selepas pusingan pembukaan, keciciran satu pukulan untuk tujuh bawah par di lubang 1 tapi birdie di lubang 2 mengembalikan pendahuluan tiga pukulannya.

Francesco Molinari dan Henrik Stenson masing-masing mengekori dengan lima dan empat bawah par pada ketika Woods hanya berupaya meraih satu birdie di lubang 11 dalam pusingan pembukaan itu.

Semalam pula, Woods berang dengan penyudahannya dalam pusingan kedua yang menyaksikannya melakukan dua bogey berturut-turut di penghujung untuk ketinggalan tujuh pukulan di belakang pendahulu.

“Saya benar-benar kepanasan ketika ini,” katanya. “Saya memiliki beberapa peluang tapi adalah sangat penting untuk singgah di bawah lubang kerana amat sukar jika anda melepasinya.

“Dibandingkan dengan semalam (kelmarin), apabila saya tersasar sedikit, saya singgah beberapa kali di bawah lubang. Hari ini pula, satu-satunya yang saya mampu melakukan demikian, saya mendapat birdie di lubang 11,” tambahnya.

Namun, Woods kekal dalam saingan di peringkat pertengahan kejohanan yang pernah dijuarainya tiga kali itu tetapi tidak sejak 2008.

“Ramai yang berpeluang untuk menang dan perjalanan masih jauh. Kita lihat apa yang akan berlaku esok.”

Kedudukan pendahulu:

-9: Gary Woodland
-7: Justin Rose
-6: Louis Oosthuizen
-5: Rory McIlroy, Aaron Wise
-4: Matt Wallace, Chez Reavie, Chesson Hadley, Brooks Koepka, Matt Kuchar
-3: Scott Piercy, Jon Rahm, Zach Johnson, Graeme McDowell, Sergio García, Xander Schauffele, Henrik Stenson, Adam Scott