Golf Sabah Masters: Pendahulu ADT jadi pencabar utama 

Oleh Bernama 11 November 2019 34
Golf Sabah Masters: Pendahulu ADT jadi pencabar utama 
Pendahulu Jelajah Pembangunan Asia (ADT), Joohyung Kim dari Korea Selatan, antara pemain yang akan beraksi dalam Kejohanan Golf Sabah Masters 2019 di Kelab Golf Sutera Harbour di Kota Kinabalu minggu depan.

Dia akan disertai Sadom Kaewkanjana dari Thailand dan Yikeun Chang dari Korea Selatan, yang masing-masing menyerlah dalam Golf Terbuka Piala Bangabandhu di Bangladesh, April lalu dan juga Kejohanan Yeangder Tournament Players di Taiwan, September lalu.

Pesuruhjaya dan Ketua Pegawai Eksekutif Jelajah Asia, Cho Minn Thant, dalam satu kenyataan mengucapkan terima kasih kepada Tourism Malaysia dan Sutera Harbour atas sokongan mereka kepada acara ini pada 21-24 November ini.

“Kami berharap capaian kami di dunia akan meningkatkan lagi sektor pelancongan Sabah dan melalui kejohanan ini, ia akan dapat memaparkan apa yang terbaik yang dapat ditawarkan kepada pemain golf,” katanya.

Berkongsi pandangan yang sama, Pengurus Besar Kelab Golf Sutera Harour, Rick Blackie, menyatakan kegembiraannya dengan ketibaan ramai pemain terbaik rantau ini dalam kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak AS$300,000 (RM1.243 juta) itu.

Pengerusi Tourism Malaysia, Datuk Ahmad Shah Hussein Tambakau, juga yakin kejohanan itu akan menjadi pemangkin kepada sektor pelancongan Malaysia secara am dan Sabah secara spesifik.

“Kami berharap dapat memperlihatkan keunikan, tarikan dan kebudayaan di Sabah dan sekali gus mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan terbaik,” katanya.

Pemain golf kebangsaan yang berasal dari Sabah, Ben Leong, akan mengetuai cabaran pemain tempatan dalam kejohanan ini yang termasuk dalam kalendar Jelajah Asia buat pertama kalinya musim ini.

Untuk rekod, Namchok Tantipokhakul dari Thailand memenangi gelaran Sabah Masters, yang kali terakhir diadakan pada 2016 di tempat yang sama di bawah kalendar Jelajah PGA ASEAN.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen