Tiger Woods menyifatkan kebangkitan Amerika Syarikat (AS) sebagai "menakjubkan" selepas juara bertahan itu melakar sejarah untuk mengekalkan Piala Presiden hari ini.

Amerika Syarikat muncul pasukan pertama yang memenangi Piala Presiden apabila mengalahkan Antarabangsa daripada kedudukan ketinggalan dalam hari terakhir selepas mempamerkan persembahan menakjubkan di Kelab Golf Royal Melbourne.

Diketuai oleh Woods, AS memenangi lapan mata menerusi acara perseorangan untuk meraih kemenangan 16-14, yang merupakan kejayaan kelapan berturut-turut, selepas ketinggalan 10-8 semalam.

Woods selaku kapten, yang mengatasi rekod kemenangan terbanyak Piala Presiden milik Phil Mickelson dengan melakukannya 27 kali, berkata: "Kami melakukannya bersama-sama, kami datang ke sini sebagai satu pasukan. Rakan-rakan sepasukan dan pemain bermain dengan baik.

"Barisan pemain beraksi dengan luar biasa dalam setiap butiran kecil, saya tidak dapat melakukannya tanpa bantuan mereka. Mereka semua beraksi baik.

"Ia menjadi satu cabaran yang hebat tetapi Stricks (Steve Stricker) dan Coups (Fred Couples) dan Zach (Johnson), mereka sangat mengagumkan," kata juara 15 kejohanan utama itu.

"Setiap pemain saling mempercayai antara satu sama lain. Kami bersandar kepada satu sama lain sebagai sebuah pasukan dan kami melakukannya bersama-sama."

Woods tidak terbabit dalam permainan 'four-ball' dan 'foursomes' semalam tetapi kembali menerajui AS menerusi kemenangan 3 dan 2 ke atas Abraham Ancer.

"Saya menaruh kepercayaan kepada semua 11 pemain. Saya percayakan mereka sepenuhnya. Saya memberitahu mereka agar terus cemerlang sejak awal lagi bagi merebut mata yang diperlukan. Kami berjuang," katanya lagi.

"Malah, meskipun kami kehilangan mata, kami membuatkan pihak lawan berhempas-pulas untuk meraihnya dan piala ini tidak akan diserahkan kepada kami dengan begitu sahaja. Kami terpaksa mengusahakannya dan kami berhasil."

Ia kemenangan yang begitu hampir tetapi masih jauh untuk digapai Antarabangsa yang dikemudi Ernie Els apabila mengimpikan kejayaan Piala Presiden pertama sejak 1998.

Antarabangsa memulakan kempen dengan garang apabila mencatat kemenangan 4-1 pada hari pembukaan dan mengekalkan kelebihan itu sehinggalah AS mengubah kedudukan berkenaan.

Kapten, Els, yang pasukannya menampilkan beberapa muka baru, beremosi selepas itu.

"Saya hanya boleh memberikan mereka kasih sayangku," kata Els.

"Mereka sudah mencuba sedaya-upaya. Mereka saling bersusah-payah buat rakan-rakan dan pasukan, serta cuba melakukan sesuatu yang baru seperti saya, jadi saya perlu tabik kepada setiap seorang.

"Terdapat ramai pemain muda. Ramai pemain yang tidak pernah dilihat atau didengar di dunia tetapi pada masa akan datang, anda boleh menyaksikan mereka dengan lebih kerap. Saya kagum dengan barisan pemain saya, kedi termasuk isteri-isteri, ia sesuatu yang hebat."

Els menambah: "Anda akan membuatkan saya menangis. Saya sukakan barisan pemain ini. Kami telah meluangkan banyak masa bersama selama berapa minggu ini dan sepanjang mesyuarat yang kami adakan bersama-sama pada tahun ini.

"Mereka 100 peratus menuruti perancangan yang saya bangkitkan dan saya 100 peratus bersama mereka. Ia adalah satu usaha kolektif daripada orang yang hebat; isteri, kedi, kakitangan Jelajah PGA, semua pihak yang saling berganding bahu dalam hal ini.

"Kami gagal mendapatkan keputusan yang dihajati tetapi kami sempat mengumpul 10 mata dalam empat acara berpasukan, itu bermakna apa yang dirancangkan berjaya."

Keputusan selepas perlawanan perseorangan: AS 16 ANTARABANGSA 14
(Pemain AS disebut dahulu)
Tiger Woods mn Abraham Ancer, 3 & 2
Tony Finau seri dengan Hideki Matsuyama
Patrick Reed mn C.T. Pan, 4 & 2
Dustin Johnson mn Li Haotong, 4 & 3
Bryson DeChambeau seri dengan Adam Hadwin
Gary Woodland kk Sungjae Im, 4 & 3
Patrick Cantlay mn Joaquin Niemann, 3 & 2
Xander Schauffele mn Adam Scott, 2 & 1
Webb Simpson mn Byeong-Hun An, 2 & 1
Justin Thomas kk Cameron Smith, 2 & 1
Matt Kuchar seri dengan Louis Oosthuizen
Rickie Fowler seri dengan Marc Leishman