Kecederaan bahu pencabar terdekat dari Nigeria, Abdul Azeez Ibrahim, tidak boleh dijadikan tiket untuk atlet powerlifting para negara, Jong Yee Khie, mengambil mudah saingan di pentas Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Selaku juara Sukan Komanwel 2014, wakil Nigeria itu antara yang digeruni atlet powerlifting lain, termasuk Yee Khie, yang tewas kepadanya untuk meraih gangsa empat tahun lalu.

Jurulatih negara, Jamil Adam, menyedari perkembangan atlet Nigeria itu yang kini menanggung kecederaan bahu dan kali terakhir anak buahnya bersaing bersama-sama Abdul Azeez ialah dalam Sukan Paralimpik Rio 2016.

Namun, situasi itu tidak dipandang sebagai satu kelebihan buat negara kerana kebangkitan pencabarnya itu sukar dijangka.

"Dalam dua kejohanan sebelum ini, Abdul Azeez tidak beraksi dan maklumat yang saya peroleh dia mengalami kecederaan," kata Jamil.

"Secara tidak langsung, ia menyaksikan jalan terbaik buat Yee Khie di Gold Coast nanti," katanya.

Yee Khie, bagaimanapun, tidak memikirkan kemampuan juara bertahan itu kerana fokus utamanya adalah prestasi diri sendiri yang kini dalam usaha memperbaiki jumlah angkatannya.

Angkatan terbaik pemenang pingat emas Sukan ParaASEAN 2017 itu adalah 215 kilogram.

"Saya berharap untuk melakukan yang terbaik bagi memperbaiki rekod peribadi dan mempamerkan persembahan terbaik," kata Yee Khie.