Skuad angkat berat negara tidak pernah gagal menyumbang pingat emas sejak Sukan Komanwel 1998. Namun, tanpa pemenang pingat emas tunggal negara di Glasgow 2014, Mohd Hafifi Mansor, yang digantung atas isu doping, mampukah skuad angkat berat mengekalkan rekod bersih emas negara dalam temasya itu?

Harapan besar terarah kepada Mohd Azroy Hazal Wafie dalam kategori 56 kilogram apabila memenangi pingat emas dalam Kejohanan Negara-Negara Komanwel, tahun lalu.

Persoalannya, adakah dia mampu mengekalkan prestasi sama selain persiapan pencabar lain yang mungkin semakin meningkat selepas enam bulan berlalu?

Azroy yang berada di bawah Program Podium menyasarkan angkatan keseluruhan 260kg dan berdasarkan ranking terkini, dia berjaya mengatasi kedudukan pencabar terdekat dari India dengan kelebihan 10kg.

"Kami berharap Azroy bebas daripada sebarang kecederaan bagi menghadapi saingan di Gold Coast nanti," kata Pemangku Setiausaha Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Abu Hanapah Ismail.

Selain itu, harapan pingat boleh disandarkan kepada seorang lagi atlet podium, Mohd Aznil Bidin, yang bertanding dalam kategori 62kg.

Kilauan pingat juga mungkin boleh terpancar daripada Mohd Fazrul Azrie Mohdad dalam kategori 85kg jika ranking semasa dijadikan ukuran.

"Untuk kategori lain, Aznil juga mampu memberikan saingan kerana atlet-atlet yang berada dalam kedudukan ranking lebih tinggi daripadanya," katanya lagi.

Bagi kategori wanita, Abu Hanapah melihat peluang cukup sukar, namun tetap berharap ada antara mereka yang mampu mencipta kejutan atau sekurang-kurangnya memperbaiki rekod peribadi.

Siti Aisyah Md Rosli yang bertanding dalam kategori 90kg menjadi harapan paling realistik, namun semuanya bergantung pada hari kejohanan.

Sementara itu, PABM cukup serius mahu mengelakkan isu doping daripada membelenggu skuad angkat berat negara di pentas Komanwel.

Pelbagai langkah saringan telah diambil bagi memastikan sepuluh atlet ke Gold Coast benar-benar bersih daripada isu doping.

"Sebelum mereka menjalani latihan di luar negara, kami telah melakukan ujian doping dan berharap selepas ini pihak Institut Sukan Negara turut melakukan ujian ini."