Jurulatih angkat berat negara, Wang Zhi Quan, menyasarkan satu emas, satu perak dan dua gangsa menerusi dua atlet harapannya, Muhammad Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad dan Muhammad Aznil Bidin dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April depan.

Ketiadaan Hafifi Mansor yang menjalani penggantungan doping tidak menghalang Zhi Quan meletakkan emas sebagai sasaran kerana anak didiknya, Azroy, berada pada kedudukan terbaik ketika ini.

Menerusi aksi kelayakan Sukan Komanwel di Gold Coast, Azroy secara tidak rasmi telahpun memecahkan rekod temasya dan rekod kebangsaan yang dipegang Amirul Hamizan Ibrahim sejak 16 tahun lalu.

"Dia mempunyai kualiti, memang bagus. Saya yakin akan ada emas nanti," kata Zhi Quan.

Selain Azroy, Aznil turut dijangka mampu melakar kejutan. Dengan catatan 120kg bagi snatch dan 159kg clean and jerk, Aznil melihat peserta Cyprus dan Papua New Guinea sebagai pencabar utama.

"Tiada tekanan tetapi saya akan berusaha mengikut program yang diatur. Saya berasa lebih yakin berlatih di bawah jurulatih (Zhi Quan)," kata Aznil.