Atlet lompat bergalah wanita negara, Chuah Yu Tian, sudah bersedia menggalas cabaran negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast selepas Malaysia ketandusan atlet wanita dalam acara itu selama 12 tahun.

Kali terakhir wakil negara beraksi dalam acara itu adalah menerusi ratu lompat bergalah, Roslinda Samsu, dalam Sukan Komanwel Melbourne 2006.

Roslinda berjaya menghabiskan saingan di tempat keempat dengan catatan 4.20 meter.

Menjadikan Roslinda sebagai sumber inspirasinya, Yu Tian mengidam untuk memecahkan rekod peribadinya, 3.80 meter, dalam temasya itu nanti.

"Saya tidak meletakkan sasaran pingat dalam Sukan Komanwel tetapi berharap untuk memecahkan rekod peribadi," kata Yu Tian.

Yu Tian kembali meletakkan dirinya sebagai antara atlet olahraga terbaik negara ketika penampilan pertamanya dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dengan meraih perak kerana sebelum ini dia sering berdepan masalah prestasi yang berpanjangan selama beberapa tahun.

Dia juga berkongsi detik di mana ketika itu dia dalam dilema untuk berhenti menjadi seorang atlet kebangsaan kerana gagal mencapai sasaran ditetapkan.

"Sebelum ini, dalam tempoh empat tahun, tiada peningkatan dalam prestasi saya tetapi sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan telah meningkatkan semula keyakinan saya," katanya.