Cabaran negara dalam acara triatlon Sukan Komanwel Gold Coast akan didukung dua atlet yang bakal membuat penampilan sulung dalam temasya itu, iaitu Chong Xian Hao dan Serena Yang.

Berbeza dengan sukan lain, siangan triatlon kali ini lebih sebagai pendedahan buat Xian Hao dalam saingan lelaki manakala Serena dalam saingan wanita.

Saingan dalam temasya Gold Coast akan menyaksikan persaingan peserta daripada 24 negara.

Laluan acara triatlon di Gold Coast akan merangkumi disiplin renang sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer dan larian sejauh 5km.

Xian Hao yang baru berusia 17 tahun mengakui dia bakal berdepan cabaran sukar di Gold Coast.

"Sudah tentu saya akan sentiasa mengutip pengalaman dalam setiap kejohanan untuk meningkatkan prestasi saya.

"Saya pasti akan berdepan saingan sengit di Gold Coast," katanya.

Xian Hao layak ke Sukan Komanwel edisi ini selepas muncul juara Kejohanan Triatlon Kebangsaan di Putrajaya, Oktober lalu.

Bagi jurulatih triatlon negara, Nik Lini Hayati Nik Kazim, selaku antara atlet termuda negara dalam Sukan Komanwel kali ini, persiapan Xian Hao turut merangkumi aspek mental.

"Atas faktor umurnya, saya perlu memberi fokus kepada kekuatan mentalnya.

"Dia pasti mudah untuk berasa gugup sebaik melihat fizikal pencabarnya yang lebih besar," kata Nik Lini.

Dalam masa sama, persiapan Serena sedikit terjejas menjelang temasya Gold Coast 2018 apabila dia mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika menjalani latihan berbasikal, hanya lapan hari sebelum dijadualkan ke Australia.

Namun, Serena tetap gigih menjalani latihan biarpun belum pulih.

"Saya masih teruja untuk ke Gold Coast. Biarpun latihan saya sedikit terjejas, ia masih terkawal dan saya mempunyai waktu untuk pulih.

"Beberapa hari lagi, saya mungkin akan kembali fokus kepada renangan dan kayuhan saya," ujar Serena.

Nik Lini turut percaya Serena akan tetap memberikan aksi terbaik di Gold Coast kerana dia mempunyai semangat juang tinggi dalam dirinya.

"Lukanya agak dalam, namun selepas dua hari, dia kembali melakukan kayuhan.

"Dia menunjukkan semangat yang tinggi.

"Pada waktu ini, adalah penting untuk dia berterusan seperti ini agar dapat mengekalkan momentum itu tepat pada masanya," ujar Nik Lini lagi.