Tiga bintang gimrama bakal mengiringi enam lagi pemenang pingat Sukan SEA Kuala Lumpur ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) akan menghantar mereka menjalani pemantapan prestasi di luar negara sebelum temasya bermula.

Kali terakhir barisan gimnas negara beraksi dalam kejohanan kompetitif adalah ketika Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu dan mereka berjaya meraih 13 emas, 9 perak dan 2 gangsa.

Dengan Sukan Komanwel yang berbaki tiga bulan sahaja lagi, MGF menyedari keperluan untuk menghantar barisan negara membuat persiapan di luar negara dengan tiga destinasi sudah disenaraipendekkan, antaranya Jepun, Russia dan Slovenia.

Barisan atlet yang bakal mewakili negara juga sudah dikenal pasti, namun MGF mengambil keputusan akan membuat pengumuman nama-nama tersebut hujung bulan ini.

"Untuk Sukan Komanwel sudah diputuskan, cuma bagi seirama ia bergantung kepada persembahan atau kecederaan. Tiga acara sudah ditentukan, cuma nama belum diputuskan dan kami menyasarkan untuk mengumumkan hujung bulan ini," kata Presiden MGF, Datuk Jaya Al-Bakri.

Turut diumumkan juga adalah lanjutan kontrak kesemua 14 jurulatih negara selepas MGF dan Majlis Sukan Negara (MSN) berpuas hati dengan pencapaian yang telah dipamerkan skuad kebangsaan.

"Sekarang ini, kami mahu mengekalkan kedudukan semua sebab kalau kami buat pertukaran jurulatih, persembahan juga akan bertukar. Sekarang ini, ia berdasarkan prestasi dalam Sukan SEA," tambah Jaya.