Keengganan memberi tekanan kepada atlet menjadi sandaran kepada kemungkinan tiada sasaran rasmi diumumkan buat kontinjen negara dalam Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Kontinjen Malaysia perlu menamatkan kempen dalam kedudukan 10 terbaik keseluruhan untuk diklasifikasikan sebagai satu kejayaan di bawah Program Podium.

Difahamkan, atlet dan jurulatih yang disenaraikan ke Gold Coast sudah mengetahui data membabitkan pecahan pingat emas untuk mencapai misi utama itu.

Jalur Gemilang akan diserahkan kepada kontinjen pada 27 Mac ini.

"Mereka ada sasaran masing-masing, terutama atlet di bawah Program Podium.

"Hanya kami tidak mendedahkannya kepada umum kerana enggan memberi tekanan kepada atlet negara.

"Seperti juga MOM, mereka juga tidak mengumumkan sasaran kedudukan, maka saya jangka tiada lagi sebarang pengumuman baru akan dibuat pada 27 Mac nanti," kata Chef-de-Mission Malaysia, Huang Ying How.

Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sudah pun memiliki senarai pendek tiga atlet untuk diberi mandat menjadi pembawa Jalur Gemilang.

Wakil skuad olahraga, Khairul Hafiz Jantan serta jaguh lompat kijang, Mohd Hakimi Ismail, disebut-sebut sebagai calon utama diberi penghormatan itu.

"Sebenarnya, kami sudah mempunyai beberapa calon.

"Mereka adalah atlet berprestasi tinggi dan jadi kita tunggulah pengumuman daripada MOM nanti," katanya.

Kontinjen negara hari ini menerima suntikan semangat apabila Bata kembali menaja sebahagian daripada kelengkapan menghadapi kempen di Gold Coast.