Sebaik sahaja menjejakkan kaki di Gold Coast, Australia, pemain skuasy negara, Mohd Syafiq Kamal, berkata tiada istilah sekadar cuba melakukan yang terbaik kerana dia meletakkan harapan besar untuk menghadiahkan sesuatu untuk Malaysia.

Syafiq membawa misi besar dalam penampilan kali pertamanya di pentas Sukan Komanwel untuk menghadirkan pingat buat negara bagi acara beregu bersama gandingan, Ng Eain Yow, tanpa hanya mengharapkan nasib menyebelahi mereka semata-mata.

Segala persiapan sudah dilakukan, di mana keserasian bersama Eain Yow juga berada di tahap memuaskan apabila pernah berjaya menempatkan diri dalam kedudukan ke-11 daripada 20 beregu keseluruhan dalam Kejohanan Beregu Dunia di Manchester pada Ogos tahun lalu.

Pasukan skuasy negara tiba di Gold Coast hari ini dan perkara utama yang ditekankan mereka adalah melupakan segala tekanan yang pernah ada ketika di tanah air untuk terus fokus kepada saingan sebenar.

"Fokus perlu dikekalkan kerana jika hilang, sukar untuk menang, terutama bagi acara beregu. Apa sahaja boleh terjadi," katanya.

Dalam masa sama, dia hanya menganggap dirinya dan Eain Yow sebagai pemain bukan pilihan untuk sedikit-sebanyak mengurangkan tekanan kepada mereka bagi memastikan aksi pertama berdepan beregu pilihan ketujuh dari England, Adrian Waller dan Daryl Selby, mampu diharungi.

"Kami tahu corak permainan mereka kerana sudah bertemu sebelum ini. Saya rasa kami sudah menyesuaikan diri dengan persembahan mereka," ujarnya.