Skuad terjun negara tidak akan melupakan jasa bekas ketua jurulatih negara, Yang Zhuliang, sambil menerima hakikat mereka bakal diiringi barisan kejurulatihan baru ke Sukan Komanwel Gold Coast 2018.

Khidmat Zhuliang sejak tahun 2001 telah memberikan pulangan berbaloi apabila melahirkan penerjun bertaraf dunia seperti Pandelela Rinong dan terbaru, Cheong Jun Hoong.

Kehadiran penerjun muda seperti Kimberly Bong, Gabriel Gilbert Daim dan Hanis Nazirul Jaya Surya juga adalah hasil daripada bimbingan Zhuliang untuk mereka menyerlah dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Bagaimanapun, kontraknya yang tidak disambung mengejutkan semua pihak, namun bagi penerjun negara, Ooi Tze Liang, kehadiran Christian Brooker dan Zhang Yukun dalam barisan kejurulatihan terkini mampu meneruskan kecemerlangan itu.

"Jika dulu kami memiliki kenangan manis tetapi ia sekadar sebuah cerita yang tidak boleh difikirkan lagi. Kami hanya perlu fokus untuk aksi seterusnya. Terima kasih kepada jurulatih sebelum ini, jasa mereka tidak akan dilupakan," ujar Tze Liang.

Skuad terjun negara telah melakukan latihan intensif di China sejak Januari lalu sebelum kembali ke Malaysia pada pertengahan bulan ini.

Apabila berbicaara soal sasaran, skuad terjun yang meraih satu pingat emas sewaktu di Glasgow 2014 menerusi Tze Liang hanya ingin cuba menyamai pencapaian itu selepas masalah kecederaan yang melanda Jun Hoong, Pandelela dan Leong Mun Yee.

"Saya tidak mahu meletakkan sasaran apa-apa tetapi hanya mampu berjanji untuk tampil dengan aksi terbaik.

"Sudah tentu semua orang mahu menang, bukan saya sahaja tetapi saya tidak mahu meletakkan tekanan kepada diri sendiri," kata Jun Hoong.

Dalam masa sama, Brooker yang dipertanggungjawabkan melatih skuad terjun lelaki tidak menolak tugas yang besar digalasnya selaku jurulatih baru.

Bagaimanapun, dia memuji kesungguhan barisan atlet yang tiada masalah untuk membiasakan diri dengan program latihannya sambil mengharapkan satu kejutan mampu dilakar mereka.

"Kami sentiasa berusaha keras untuk mencapai kejayaan. Atlet-atlet tidak berputus asa dan saya yakin mereka mampu mencapai apa yang layak mereka raih," kata Brooker.